
BANDAR SERI BEGAWAN - Seorang majikan tempatan iaitu Dayang Alinda binti Md Ariffin dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar di sini semalam atas tuduhan gagal membayar gaji pembantu rumahnya yang tertunggak dan juga atas tuduhan menggaji pekerja Perkhidmatan Rumahtangga (Pembantu Rumah) tanpa mendapatkan lesen daripada Pesuruhjaya Buruh.
Pembantu rumah beliau iaitu Yuni Masruah, warga Indonesia tidak menerima gaji selama 17 bulan.
Di bawah Akta Buruh Bab 108 (1) gaji pekerja mestilah dibayar tidak lewat 10 hari daripada tarikh dan masa yang dibenarkan dan jika gagal boleh didakwa di bawah Bab 120 (b) dan jika sabit kesalahan didenda $1,500 atau enam bulan penjara bagi setiap kesalahan.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh di sini hari ini, dalam kes Alinda binti Md Ariffin, beliau telah didakwa oleh Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Buruh, Dayang Norizzah Hazirah binti Haji Awang Hussin dengan 18 tuduhan, yang mana 17 tuduhan adalah kesalahan tidak membayar gaji pembantu rumahnya dan satu tuduhan menggaji pekerja asing tanpa lesen yang dikeluarkan oleh Jabatan Buruh.
Majistret Kanan, Pengiran Masni binti Pengiran Bahar telah menjatuhkan hukuman ke atas Dayang Alinda Binti Md Ariffin denda berjumlah $7,100 bagi semua kesalahan, jika gagal membayar denda tersebut beliau akan dipenjara selama 51 minggu bagi kesalahan dibawah Bab 108 Akta Buruh 1954 dan dibawah Bab 118 Akta Buruh 1954 bagi kesalahan menggaji pekerja asing tanpa kebenaran lesen daripada Jabatan Buruh.
Mahkamah memberi tempoh sehingga 5 Mei 2012 bagi defendan untuk menjelaskan tunggakan gaji pembantu rumahnya berjumlah $2,833.
Manakala denda Mahkamah yang perlu dibayar berjumlah $7,100 dan diberi tempoh sehingga 14 Julai 2012.
Dalam pada itu, Jabatan Buruh juga mengingatkan kepada majikan-majikan supaya akan dapat membayar gaji pekerja mereka pada setiap bulan dan mematuhi Perintah Pekerjaan 2009 yang dikuatkuasakan pada masa ini.
Orang ramai khususnya pekerja-pekerja adalah dialu-alukan supaya akan dapat melaporkan maklumat-maklumat dan membuat aduan yang berkaitan dengan sebarang kesalahan perburuhan dengan datang sendiri ke Bahagian Penguatkuasaan Undang-Undang Jabatan Buruh atau melalui talian Hotline 2381848.




















